CENTEXS bakal lahirkan pencipta kandungan e-sports — TPM Zahid

Zahid mencuba e-sports pada lawatan kerja ke CENTEXS Lundu. Foto: UKAS
Advertisement

KUCHING, 5 Okt: Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) menjadi institusi pertama di Malaysia menawarkan bidang industri sukan elektronik (e-sports).

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ini akan membolehkan pusat tersebut melahirkan ramai pencipta kandungan e-sports di kalangan anak-anak tempatan satu hari nanti.

“Saya harap e-sports bukan sahaja penyertaan dalam pertandingan tetapi pengwujudan kepada kandungan e-sports itu sendiri.

Advertisement

“Kita mesti mampu melahirkan ramai anak-anak tempatan untuk berada di peringkat dunia menjual kandungan e-sports mengikut versi Malaysia.

“Dan saya harap satu hari nanti akan lahir pencipta kandungan e-sport dari Sarawak ini berada di barisan hadapan,” kata Zahid.

Beliau berkata demikian pada Lawatan Kerja ke CENTEXS Lundu hari ini.

Sementara itu, Zahid kagum dengan langkah besar yang di ambil oleh Kerajaan Sarawak dengan mewujudkan beberapa CENTEXS.

Katanya, kejayaan Pendidikan Dan Latihan Teknikel Dan Vokasional (TVET) terbukti melalui kadar kebolehpasaran graduan yang kini mencapai 94.5 peratus di peringkat nasional.

“Ini bermakna, daripada setiap 100 graduan institusi TVET, 94 orang berjaya memperoleh pekerjaan, menjadi usahawan, atau melanjutkan pengajian.

“Statistik ini jelas mencerminkan keberkesanan ekosistem TVET dalam melahirkan graduan berkualiti tinggi yang berdaya saing serta bersedia untuk menyumbang kepada pembangunan negara,” kata Zahid.

Hadir sama Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong dan Pengerusi CENTEXS Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani. — DayakDaily

Advertisement