Cemburu punya pasal, lelaki pukul teman wanita guna helmet

Suspek (lima dari kanan) ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 21 Julai: Gara-gara cemburu, seorang pemuda bukan sahaja tergamak menumbuk teman wanitanya, malah menghentak kepala mangsa menggunakan helmet motosikal.

Terdahulu, pasangan tersebut terlibat dalam satu pertengkaran pada malam Isnin tidak jauh dari kawasan rumah kedai di Jalan Miri-Bypass.


Suspek, berusia 26 tahun itu disyaki telah bertindak menumbuk mangsa di muka sebelum menghentak sebuah helmet motosikal pada kepalanya.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, satu laporan polis telah dibuat mangsa dan susulan itu, anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri telah menahan suspek untuk siasatan lanjut.

Difahamkan , suspek telah mengamuk dan menuduh teman wanitanya yang berusia 20 tahun itu menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain.

Suspek ditahan pada pagi Selasa (20 Julai) di sebuah rumah di Jalan Malva Sungai Baong untuk tindakan lanjut.

Hasil siasatan lanjut mendapati suspek turut meminta wang sebanyak RM300 daripada mangsa untuk membayar ganti rugi kerosakkan motorsikal kepada seorang lelaki yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengan wanita terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan. — DayakDaily