Unifor peruntuk RM105,000 untuk 3 gereja di Dalat

Uggah (kanan) menyerahkan cek kepada Fatimah.

KUCHING, 21 Julai: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) hari ini mengagihkan geran berjumlah RM105,000 kepada tiga gereja di Daerah Dalat.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah menyampaikan tiga cek bagi geran itu kepada ADUN Dalat merangkap Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah.

Cek pertama dengan jumlah RM70,000 diberikan kepada St Bernard’s Church Dalat bagi kerja menimbus pasir di kawasan Tanah Perkuburan Kristian Sungai Sisut.


Manakala cek kedua yang berjumlah RM15,000 diberikan kepada Chapel St Peter, Kampung Medong bagi kerja membaik pulih kemudahan dan struktur lantai chapel tersebut.

Penerima ketiga adalah Jawatankuasa Tanah Perkuburan Liko/ Kristian Kampung Balan bagi kerja membina rumah wakaf di Tanah Perkuburan Kristan Kampung Balan berjumlah RM20,000. — DayakDaily