“Cegah, Amal, Patuh dan Pantau” bagi memutuskan rantaian Covid-19

Rosey (tiga dari kiri) bersama tetamu yang lain memegang poster program semasa pelancaran pagi tadi di Dewan Saeh di Niah.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 14 Nov: Masyarakat setempat diseru agar meneruskan amalan norma baharu dalam usaha membantu kerajaan memutuskan rantaian Covid-19.

Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus berkata adalah penting bagi masyarakat setempat untuk mengambil tahu dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian demi mengurangi penyebaran Covid-19.


“Dengan inisiatif keprihatinan, Perdana Menteri kita (Tan Sri Muhyiddin Yassin), telah melancarkan Kempen Pembudayaan Norma Baharu: Putuskan rantaian Covid-19 pada 8 Ogos, 2020 di Kompleks Sukan Pagoh, Johor, kempen ini diangkat bagi memperkasa usaha dalam melawan pandemik Covid-19 dengan memutuskan rantaian wabak ini,”ujar Rosey.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program sepakat @ komuniti Pembudayaan Norma Baharu putuskan rantaian Covid-19 di Dewan Saeh, Niah hari ini.

Rosey menambah, melalui saranan Kementerian Kesihatan, masyarakat harus memberi penekanan kepada pelaksanaan CAPP, iaitu “Cegah, Amal, Patuh dan Pantau” dalam usaha mengekang penularan Covid-19 dalam sesebuah komuniti.

Adalah menjadi tanggungjawab setiap lapisan masyarakat untuk patuh kepada norma baharu ini,” jelasnya.

“Kita perlu terus bekerjasama dengan kerajaan khususnya para petugas kesihatan dan penguatkuasa undang-undang untuk memastikan norma baharu diamalkan bagi memutuskan rantaian wabak ini, setiap individu harus ada ketegasan dan kesedaran yang tinggi dalam kawalan kendiri dengan mempraktikkan kebiasaan amalan baharu ini,” katanya.

Jelasnya inisiatif “Kita jaga kita” menunjukkan keprihatinan dan semangat rakyat Malaysia dari akar umbi melawan Covid-19 dan ia harus diteruskan selagi wujud ancaman wabak Covid-19 ini.

“Kita perlu bertindak dan menganggap diri kita sebagai petugas barisan hadapan, kita harus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dan perlu sentiasa berwaspada untuk mengelak daripada wujudnya kluster-kluster baharu yang boleh menyebabkan peningkatan kes-kes positif Covid-19 di negara kita,” katanya.

Rosey turut mengingatkan bahawa kesedaran kawalan kendiri yang tinggi baik di tempat kerja, tempat ibadat, tempat-tempat awam, sekolah, institusi pengajian tinggi mahupun di rumah perlu ada dalam diri masyarakat pada setiap masa. — DayakDaily