Kepantasan bomba padam kebakaran selamatkan hotel dari kerosakan teruk

Kesan kebakaran di tempat mencuci pakaian di sebuah hotel di Jalan Abell, Kuching hari ini.

KUCHING, Mac 25: Kepantasan pasukan bomba melakukan kerja-kerja memadam kebakaran berjaya menyelamatkan sebuah hotel di Jalan Abell di sini daripada mengalami kerosakan teruk dalam satu kejadian kebakaran, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan berjaya mengawal kebakaran itu dalam tempoh kira-kira 20 minit.

Katanya, kebakaran itu bagaimanapun hanya melibatkan tempat mencuci pakaian di tingkat empat hotel tersebut.

“Sebelum itu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran di hotel berkenaan pada pukul 7.22 pagi.

“Kepantasan pasukan bomba mengawal kebakaran berjaya menyelamatkannya hotel berkenaan mengalami kerosakan teruk,” katanya ketika dihubungi hari ini.


Tiong menambah, pemeriksaan mendapati tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian akibat kebakaran itu masih lagi dalam siasatan,” katanya lagi. — DayakDaily