KUCHING, 27 Dis: Markas Briged Ke-31 Infantri Malaysia (31 Bgd) dijangka beroperasi di Bintulu menjelang Jun 2023.
Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain berkata, lokasi bagi menempatkan markas sementara sudah dikenalpasti.
“Buat masa ini markas Briged 31 masih di Kem Unaco di Sibu, memang kita akan gerakan ke Bintulu.
“Sebab kita berpendapat sudah ada Markas 9 Briged di Sibu, maka 31 Briged ke Bintulu,” kata Zamrose.
Beliau berkata demikian pada sidang media selesai Perbarisan Pemakaian Pangkat Perdana Rejimen Sempadan di Padang Kawad Kem Muara Tuang, Kota Samarahan hari ini.
Tambah Zamrose, markas sementara di Bintulu tidak melibatkan sebarang pembinaan bangunan.
Menurut beliau, pihaknya akan menyewa bangunan termasuk rumah keluarga bagi anggota RS.
Dalam pada itu, Zamrose memaklumkan keselamatan di Sarawak dan Sabah tiada masalah.
“Kita sentiasa mengikuti perkembangan semasa, geo-strategik kita ikut dan sentiasa bersedia.
“Kita juga sudah tingkatkan pos-pos kawalan kita di sepanjang sempadan Kalimantan.
“Kita ada 4 pos baharu yang telah siap dan beroperasi, manakala 3 pos sedang dalam pembinaan,” kata Zamrose.
Seramai 201 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari Briged Ke-31 Infantri Malaysia (31 Bgd) yang berpangkalan di Sibu telah dinaikkan pangkat dalam Perbarisan Pemakaian Pangkat Perdana hari ini.
Turut hadir Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad dan Panglima Divisyen Pertama Infantri Mejar Jeneral Hassan Embong. — DayakDaily