Bot pancung dikendali lima warga asing ditahan di Miri

Bot pancung yang ditahan dalam operasi tersebut.
Advertisement

MIRI, 18 Jun: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Zon Miri  menahan dua bot pancung pada jarak lebih kurang lima batu nautika dari Muara Sungai Miri, pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kpt Maritim Md. Fauzi Othman berkata, dua bot pancung tersebut dikesan dalam keadaan yang mencurigakan oleh aset Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan rutin di sekitar perairan Miri sekitar jam 9.30 pagi.

Katanya, bot tersebut kemudian ditahan dan hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot pancung tersebut dikendalikan oleh lima kru lelaki yang disyaki bukan warga tempatan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa.

Advertisement

“Kedua-dua bot pancung bersama lima kru dan peralatan memancing diiring masuk ke Jeti Marina Bay Miri untuk siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Untuk sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri ditalian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily

Advertisement