Bot nelayan asing ceroboh perairan negeri ditahan di Tanjung Manis

Nelayan warga asing yang ditahan dalam operasi tersebut.

Oleh Juetila Ozzy

TANJUNG MANIS, 23 April: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Manis menahan sebuah bot nelayan asing Vietnam yang menceroboh perairan Sarawak pada 21 April lepas.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Mohd Ariz Md Kassim berkata, bot tersebut bersama lapan kru beserta tekong warga Vietnam menyamar dengan menggunakan nombor pendaftaran tempatan palsu.


Susulan itu, bot tersebut kemudian ditahan sekitar jam 12.26 tengahari pada jarak lebih kurang 107 batu nautika dari Utara Tanjung Sirik.

“Hasil pemeriksaan menemui lebih kurang 400 kilogram ikan campur, manakala tekong dan semua kru telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Berdasarkan penemuan hasil tangkapan, dipercayai bahawa bot itu baharu memasuki perairan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kesemua kru termasuk tekong yang ditahan lelaki warga Vietnam berumur dalam lingkungan antara 33 hingga 51 tahun itu dibawa ke Jeti Terminal Penumpang Tanjung Manis untuk menjalani ujian saringan Covid-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

Mereka kemudian diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan selanjutnya.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana tidak mempunyai permit untuk melakukan sebarang aktiviti penangkapan ikan di perairan negara dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tekong serta kru tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Maritim Malaysia sentiasa mempertingkatkan pengawasan, kawalan dan rondaan penguatkuasaan bagi membanteras pencerobohan nelayan-nelayan asing.

Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat mengenai aktiviti jenayah yang berlaku di perairan Sarawak dan melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Manis ditalian 084-613293 / Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak ditalian 082-432544 yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily