Penduduk tangkas selamatkan rumah panjang 17 pintu di Kanowit daripada terbakar

Anggota Bomba memeriksa keadaan stor tersebut yang terbakar.

Oleh Juetila Ozzy

KANOWIT,23 April: Kepantasan dan kecekapan beberapa orang penduduk di Rumah Billy, Rantau Kasau, di sini berjaya menyelamatkan rumah panjang tersebut daripada terbakar sekitar petang tadi (Jumaat).

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata seramai lapan orang penduduk rumah panjang berusia 44 hingga 70 tahun bertindak memadam kebakaran tersebut yang berlaku sekitar jam 6 petang.


Hasilnya, kebakaran tersebut berjaya dipadamkan dan hanya menyebabkan kerosakkan pada bahagian stor penyimpanan barang-barang kebun.

“Kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya oleh penduduk rumah panjang menggunakan ‘pressure water jet’ (pam air) .

“Kebakaran tersebut bagaimanapun telah memusnahkan stor penyimpanan peralatan berkebun dan keseluruhan rumah panjang 17 pintu itu dilaporkan selamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, tiada operasi pemadaman dilakukan pasukan Bomba.

“Bomba hanya membuat pemantauan dan mengambil maklumat berkaitan bagi tujuan pelaporan,” katanya.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran tersebut.

Difahamkan, anggaran kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan. — DayakDaily