Bomba berjaya pujuk wanita warga Filipina yang dipercayai cuba bunuh diri

Kelihatan bangunan di mana seorang wanita warga Filipina dipercayai cuba bunuh diri.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


Oleh Dean Adam

SIBU, Mei 11: Kepantasan pasukan bomba bertindak memujuk seorang wanita warga Filipina yang dipercayai cuba membunuh diri berjaya menghalang hasrat wanita berkenaan di satu kejadian di Malindo Cafe & Bistro di sini hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.36 pagi.


Jelasnya, sepasukan anggota bomba dari BBP Sibu kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati seorang wanita sedang duduk di bumbung tingkat empat bangunan dan menangis. Wanita tersebut dipercayai mengalami kemurungan.

“Pasukan penyelamat seterusnya berusaha memujuk mangsa supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang sedang difikirkannya.

“Setelah berinteraksi bersama, wanita yang berusia 29 tahun itu akhirnya menunjukkan tanda-tanda yang dia sudah mula tenang. Pasukan penyelamat lalu membawa mangsa ke kawasan yang lebih selamat,” katanya di sini hari ini.

Mangsa setelah ditenangkan oleh pihak Bomba.

Jurucakap sama menambah, setelah mangsa memberikan kerjasama dan menunjukkan reaksi positif, pasukan penyelamat kemudian membawa dia balik ke dalam rumah sewanya di tingkat tiga bangunan di situ.

Katanya, setelah keadaan wanita itu dalam stabil dan selamat, pasukan penyelamat kemudian berangkat balik ke balai.

“Operasi khas berkenaan ditamatkan pada pukul 8.22 pagi,” katanya. — DayakDaily