Tindakan pantas penghuni rumah panjang berjaya selamatkan kediaman daripada terbakar

Anggota bomba melakukan operasi pemantauan.
IBRACO WEBSITEI

Oleh Dean Adam

BETONG, Mei 11: Tindakan pantas penghuni rumah panjang memadam kebakaran berjaya menyelamatkan rumah panjang yang didiami mereka di Jalan Serulak, Serian Ulu, dekat sini daripada musnah terbakar hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 2.45 itu hanya mengakibatkan dapur sementara di rumah panjang tersebut musnah terbakar 100 peratus.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 2.50 petang.

Jelasnya, seramai 10 anggota bomba dari BBP Betong kemudian diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

Penghuni rumah panjang bantu padam kebakaran.

“Setibanya di lokasi kejadian, komander operasi melaporkan kebakaran itu hanya melibatkan dapur sementara yang digunakan juga sebagai menyimpan baja yang terletak di luar.

“Kebakaran itu telah berjaya dipadam oleh penghuni rumah panjang sebelum pasukan bomba sampai,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, pasukan bomba kemudian membuat pemantauan menyeluruh untuk memastikan api telah padam sepenuhnya.

Katanya, punca kebakaran masih lagi dalam siasatan.

“Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi ditamatkan pada pukul 3.49 petang,” katanya. — DayakDaily