BKSS 5.0 tanda keprihatinan kerajaan Sarawak

Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi
Advertisement

KUCHING, 21 Jan: Peruntukkan berjumlah RM405 juta untuk Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 5.0 membuktikan keperihatinan kerajaan pimpinan Gabungan Parti Sarawak terhadap kebajikan rakyat selepas penularan Covid-19 dan bencana banjir yang melanda negeri ini.

Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata pendekatan yang digariskan dalam melaksanakan bantuan tersebut diyakini dapat meringkan beban rakyat Sarawak dalam meneruskan kehidupan seharian mereka.

“Menerusi BKSS 5.0, kerajaan Sarawak akan memberi diskaun bil elektrik antara lima hingga 25 peratus bagi pengguna domestik, komersil dan industri yang bermula pada Januari hingga Jun 2021.

Advertisement

“Diskaun sama juga diberikan kepada bil air antara 10 hingga 25 peratus selain diskaun 50 peratus untuk sewa pasar dan gerai yang akan memberi manfaat kepada 10,000 penjaja berdaftar di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, pengecualian yang diberikan kepada permit dan lesen perniagaan, pengecualian bayaran sewa yang beroperasi di premis perniagaan milik badan berkanun dan syarikat GLC kerajaan Sarawak kepada Usahawan kecil dan sederhana (PKS) serta pengecualian diberikan untuk pembayaran lesen hotel dan rumah tumpangan dilihat dapat mengurangkan kos yang perlu ditanggung sektor terlibat dalam mengekal daya saing dan kelangsungan perusahaan mereka.

Abdul Rahman yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) berkata beberapa inisiatif lain termasuk pemberian diskaun 25 peratus untuk taksiran kadar cukai pintu dan 50 peratus untuk sewa Skim Perumahan Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) berupaya membantu isi rumah menyusun semula perbelanjaan mereka ketika berhadapan dengan situasi sukar pada ketika ini.

Tambahnya pemberian diskaun 30 peratus untuk cukai tanah dan penangguhan pembayaran yang diberikan untuk premium tanah secara one-off membolehkan pengguna domestik, industri dan komersial untuk mempunyai jaringan keselamatan pendapatan dan penjimatan dalam kos operasi mereka.

“Diharapkan bantuan yang diberikan ini dapat memberi manfaat kepada rakyat Sarawak dalam menghadapi situasi sukar sekarang,” katanya. — DayakDaily

Advertisement