Bintulu hanya benarkan 2 orang penumpang dalam kereta persendirian

Driving. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 17 Mei: Bilangan penumpang dalam kenderaan persendirian di Bahagian Bintulu hanya dibenarkan dua orang sahaja bagi tempoh Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai esok hingga 7 Jun ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kemas kini SOP yang dikeluarkan hari ini berkata, pengecualian hanya diberikan kepada kenderaan persendirian dari luar bahagian Bintulu dengan mengikut kapasiti kenderaan serta mempunyai ujian calitan RT-PCR dan permit polis.

Kemas kini SOP itu turut hanya membenarkan dua orang wakil isi rumah keluar untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat, penokok diet dan keperluan asas.


Pergerakan hendaklah dalam radius tidak melebihi 10km dari kediamannya atau tempat paling hampir dengan kediamannya sekiranya bekalan keperluan tersebut tiada dalam radius 10km dari kediamannya.

Namun tegas JPBNS, individu yang berisiko tinggi dan kanak-kanak tidak digalakkan keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak.

Turut tidak dibenarkan adalah perkumpulan individu di tempat awam selepas jam 8 malam tanpa sebab atau alas an yang munasabah.

Manakala, aktiviti rekreasi awam di Pantai Tanjong Batu, Pantai ABF dan Taman Millenium termasuk aktiviti pasar malam juga tidak dibenarkan.

Berhubung kemasukan individu samada melalui pintu masuk udara, laut dan darat dari luar negara, Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan yang akan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di Bintulu, mereka tidak perlu menyediakan ujian calitan RT-PCR.

Menurut JPBNS, ujian calitan RT-PCR akan diambil pada hari ke-2 dan ke-10 semasa di pusat kuarantin Bintulu.

Sementara itu, pergerakan antara Bahagian adalah tidak dibenarkan kecuali bagi perkhidmatan perlu dan kecemasan.

Bagi yang singgah sebentar di Bintulu, kemas kini SOP menetapkan perlu mendapat kelulusan Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu dan permit polis. — DayakDaily