KUCHING, 8 Ogos: Betong Integrated Development Agency (BIDA) diharap dapat membawa pembangunan di kawasan sekitarnya dalam tempoh lima tahun ini.
Timbalan Pengerusi BIDA Dato Gerald Rentap Jabu berkata, tempoh tersebut penting bagi mencapai aspirasi kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menjadikan Sarawak negeri maju menjelang 2030.
“Tarikh 1 Januari 2030 hanya berbaki 2,703 hari sahaja lagi, maka kita harus berusaha keras dalam tempoh satu hingga lima tahun ini .
“Kita mesti ada pelan induk dan pelan tindakan yang baik untuk memastikan dalam masa lima tahun ini rakyat kita merasai perubahan yang dibawa oleh BIDA,” katanya di Majlis Pelancaran Lab BIDA di sini, hari ini.
Tambah Gerald yang juga Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan, penubuhan BIDA dengan peruntukan awal sebanyak RM1.5 bilion dari kerajaan Negeri merupakan satu titik permulaan dalam membangunkan Betong.
Justeru katanya, BIDA telah mengenalpasti lima keutamaan bagi melonjak pembangunan di Betong yang meliputi 8 kawasan Dewan Undangan Negeri.
“Keutamaan ini meliputi infrastruktur, utiliti dan komunikasi, pelancongan yang juga diselitkan dengan kebudayaan, pertanian dan industri kerana jika pertanian sahaja mungkin kita akan ketinggalan.
“Dan yang kelima ialah sosial dan kemudahan-kemudahan diperlukan. Inilah yang dicadangkan bagi penambahbaikan Betong,” ujar Gerald yang juga Ahli DUN Layar.
Lab Betong Integrated Development Agency (BIDA) yang disertai ketua-ketua agensi dan ketua-ketua masyarakat diadakan selama tiga hari mulai hari ini.
Hadir sama bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu dan Residen Betong Richard Micheal Abunawas. — DayakDaily