Bertarung nyawa lebih 10 jam, lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik

Kelihatan mangsa dalam keadaan tergantung selepas terkena renjatan elektrik.

KUCHING, Mei 2: Seorang lelaki yang bertarung nyawa lebih 10 jam selepas melecur akibat terkena renjatan elektrik setelah disyaki mencuri kabel elektrik di Kampung Pasir Pandak dalam satu kejadian malam tadi disahkan meninggal dunia hari ini.

Lelaki yang belum dikenalpasti identitinya disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak kira-kira pukul 1.10 petang.

Menurut sumber, kejadian renjatan itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 10.20 malam tadi.


Katanya, penduduk kampung yang menyedari mangsa dalam keadaan tergantung pada tiang elektrik kemudian menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian terpaksa menunggu pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk memutuskan sementara bekalan elektrik sebelum operasi menyelamat mangsa dijalankan.

“Mangsa berjaya diturunkan sekitar pukul 12.50 tengah malam sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Sumber menambah, mangsa dilaporkan melecur kira-kira 80 peratus pada anggota badannya akibat kejadian itu. — DayakDaily