KUCHING, Julai 6: Selepas bertarung nyawa hampir tujuh jam setelah dirempuh sebuah kereta, seorang lelaki warga emas akhirnya disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini petang tadi.
Sebelum itu, mangsa, Kong Siau Chi, 82, dilaporkan telah dilanggar sebuah kereta Perodua Kelisa di Jalan BDC, Lorong E di sini pada pukul 8.30 pagi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang berjalan kaki secara tiba-tiba melintas jalan raya tanpa melihat kenderaan di situ.
Katanya, pemandu Perodua Kelisa berusia 68 tahun yang tidak sempat memberhentikan keretanya lalu merempuh mangsa.
“Akibat rempuhan kuat itu mengakibatkan mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah pada kepalanya.
“Mangsa kemudian dibawa ke zon merah di HUS untuk mendapatkan rawatan kecemasan, namun pemandu kereta tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini malam ini.
Alexson menambah, mangsa disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan pada pukul 3 petang.
Katanya, waris mangsa sudah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.
“Cuaca semasa kemalangan adalah baik dan tiada banyak kenderaan di jalan raya ketika itu.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily