Honda Accord rempuh bas ekspres, dua mangsa temui ajal

Kelihatan bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan dengan Honda Accord.

SARATOK, Julai 7: Dua individu maut dalam nahas jalan raya membabitkan sebuah kereta Honda Accord yang bertembung dengan bas ekspres di KM 57, Jalan Betong-Sarikei di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu mengakibatkan dua mangsa iaitu Luk Chung Hee, 48, dan Serafina Forrin Sabbas, 26, meninggal dunia di tempat kemalangan akibat tersepit dalam kenderaan dinaiki mereka.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan tersebut telah meragut nyawa masing-masing seorang lelaki dan wanita.


Jelasnya, sebelum kejadian, Luk yang memandu Honda Accord bersama Serafina dikatakan sedang menuju ke arah Betong dari arah Sarikei di sini.

“Namun, apabila tiba di lokasi kejadian, malang menimpa mereka setelah kereta dinaiki telah bertembung dengan sebuah bas ekspres dari Kalimantan Barat, Indonesia.

“Pertembungan itu dipercayai berlaku apabila pemandu Honda Accord telah memasuki laluan bertentangan secara tiba-tiba hingga menyebabkan nahas tersebut,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, kedua-dua mangsa yang tersepit selain mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan.

Katanya, pemandu bas ekspres bersama 14 penumpang lain pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Saratok untuk tindakan selanjutnya.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. — DayakDaily