Bersatu ingin satukan peribumi Sarawak, bukan politik pecah dan perintah

Affendi Jeman

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 6 Julai: Kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke Sarawak adalah dengan hasrat untuk menyatukan masyarakat peribumi dan bukan meneruskan legasi politik pecah perintah.

Ahli Bersatu Affendi Jeman membidas kenyataan Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa yang menuduh kemasukan Bersatu ke negeri Sarawak adalah untuk menyambung legasi pecah dan perintah.


“Kenyataan beliau (Annuar) yang mengatakan kemasukan Bersatu ke Sarawak sebagai legasi politik pecah dan perintah adalah kedangkalan beliau tentang landskap politik Sarawak.

“UMNO tidak hiraukan suara rakyat tapi hanya mahu mengekalkan kuasa pemimpin-pemimpin,” kata beliau dalam satu kenyataan media.

Affendi menambah pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad mahu melihat perpaduan di kalangan kaum bumiputera di Sarawak dan kemasukan parti tersebut mampu menjadikannya realiti.

“Tun Mahathir mempelawa parti-parti Melayu untuk bersatu di bawah payung Bersatu tanpa mengecualikan parti-parti Melayu bumiputera di Sarawak.

“Kesungguhan Tun untuk melihat penyatuan Melayu dan bumiputera harus di ambil peduli oleh pemimpin-pemimpin Sarawak,” tegas beliau lagi.

Beliau menggesa pemimpin-pemimpin UMNO agar menghentikan politik kenegerian sebagai modal mencari populariti.

“Rakyat bukan boneka, rakyat sudah celik dan pemimpin-pemimpin harus ketepikan ego sebelum rakyat bangkit melakukan perubahan drastik,” katanya. — DayakDaily