Berpantang maut sebelum ajal, tiga individu selamat dalam kemalangan

Keadaan kemalangan melibatkan sebuah lori dan dua motosikal.
Advertisement

Oleh Dean Adam

SARIKEI, Julai 20: Berpantang maut sebelum ajal.

Itulah pepatah tepat yang menggambarkan tragedi yang menimpa tiga individu yang terselamat selepas terlibat dalam kemalangan di KM27, Bukit Sebangkoi, hari ini.

Advertisement

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.25 pagi itu, sebuah lori yang membawa muatan kelapa sawit terbabas lalu terbalik di bahu jalan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata kemalangan itu juga melibatkan dua penunggang motosikal yang terselamat dari sebarang kecelakaan.

Katanya, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.30 pagi.

“Sejurus itu, sepasukan anggota bomba dari BBP Sarikei bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Apabila tiba, komander operasi melaporkan terdapat kesan tumpahan minyak di atas jalan akibat daripada kemalangan itu,” katanya di sini, hari ini.

Anggota bomba membersihkan kesan tumpahan minyak.

Jurucakap sama menambah, tiga individu yang cedera telah dibawa ke hospital oleh orang awam.

“Pasukan bomba kemudian bertindak membersih dan menimbus kesan tumpahan minyak dengan pasir.

“Operasi ditamatkan setelah keadaan selamat kira-kira pukul 8.22 pagi,” jelasnya. —DayakDaily

Advertisement