Bermotosikal 32km dari Kg Niup ke Kuching setiap hari, ambil upah jahit kasut

Bohari dengan rutin harian menjahit kasut di kaki lima di Bangunan Eastmoore.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 3 Okt: Tiga puluh tahun sebagai tukang kasut dianggap rezeki pemberian Tuhan bagi Bohari Ariffin.

Beliau yang terpaksa berulang-alik setiap hari dari Kampung Niup di Samarahan ke Bandaraya Kuching menggunakan motosikal dengan jarak 32 kilometer tidak sekali mengeluh kerana disitulah punca pendapatannya.


“Perjalanan menggunakan motosikal ke kawasan saya (kaki lima) menjalankan tugas menjahit kasut mengambil masa lebih sejam.

“Sekitar jam 8 pagi saya sudah mula menjahit kasut pelanggan dan akan balik sekitar jam 4 petang, inilah rutin saya setiap hari,” katanya ketika ditemui di Bangunan Eastmoore.

Bohari, 57, yang sudah berkeluarga dengan 6 anak adalah satu-satunya tukang kasut yang beroperasi di kaki lima di Bangunan Eastmoore.

Beliau yang sudah beroperasi selama 13 tahun di kawasan tersebut sangat dikenali dan memiliki ramai pelanggan.

Antara pelanggan setia Bohari satu ketika dahulu ialah bekas Timbalan Ketua Menteri mendiang Tan Sri James Masing dan beberapa Menteri Negeri.

Menurut beliau, pendapatan sebagai tukang kasut tidaklah seberapa, cuma cukup untuk menyara keluarga.

Namun katanya, itulah kepakaran dan termampu dilakukannya demi kelangsungan hidup.

“Ada-lah RM1,800 sebulan, dan jika pendapatan harian ialah dalam lingkungan RM70 sehari, ini cukup untuk menyara keluarga.

“Setiap hari memang ada pelanggan datang untuk mendapatkan khidmat membaiki kasut serta menukar tapak,” katanya.

Dalam sehari, Bohari dapat menyiapkan lebih kurang lapan pasang kasut.

Manakala bayaran servis menjahit kasut yang dikenakan Bohari ialah RM18 untuk sepasang kasut dan servis tukar tapak ialah RM70 sepasang.

Sebelum beroperasi di Bangunan Eastmoore, Bohari juga pernah beroperasi di King Centre dan di kawasan Satok. — DayakDaily