Berjaya menunai niat dendam selepas cucu dibelasah di ladang kelapa sawit

Anggota JSJ Polis Miri kelihatan berada di ladang Bukit Peninjau, Subis.

Oleh Jaythaleela K

MIRI, 10 Feb: Gara-gara bertindak melakukan serangan balas selepas insiden membabitkan seorang lelaki berusia 22 tahun dibelasah di Ladang 3 pada Ahad (Feb 7), lima lelaki termasuk datuk mangsa telah ditahan polis untuk membantu siasatan.

Penahanan kelima-lima suspek itu dibuat sekitar jam 11.20 malam Selasa (Feb 9) di pintu utama sebuah ladang kelapa sawit di Bukit Peninjau, Subis oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ).


Tangkapan dibuat susulan kejadian serangan balas kelima-lima suspek ini yang dipercayai marah selepas insiden pada Ahad di Ladang 3 terhadap seorang pengawal keselamatan di ladang tersebut pada malam yang sama sekitar jam 9 malam.

Difahamkan, suspek yang ditahan adalah ahli keluarga mangsa yang dibelasah beberapa lelaki dipercayai pengawal keselamatan di sebuah ladang sawit di Niah pada Ahad (Feb 7) lalu.

Video satu minit 26 saat yang memaparkan insiden mangsa dibelasah tersebut telah tular di media sosial dan menimbulkan kemarahan dan ketidakpuasan hati ahli keluarga mangsa.

Turut dirampas semasa tangkapan semalam adalah sebatang kayu yang ditemui di bonet sebuah kereta jenis Perodua Bezza milik datuk mangsa.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari mengesahkan tangkapan.

Kesemua lima suspek berusia dari 25, 26, 27, 32 dan 56 tahun itu kini sedang ditahan di Balai Polis Pusat Miri (CPS) untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 /342 Kanu Keseksaan kerana dengan segaja menyebabkan cedera dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang merbahaya/kurungan salah.

Dalam pada itu, Hakemal turut mengingatkan orang awam supaya tidak mengambil undang-undang di tangan sendiri.

“Pihak polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang,” ujarnya. — DayakDaily