Belanjawan Sarawak 2019 pacu pembangunan luar bandar, kata Julaihi Narawi

Datuk Julaihi Narawi

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 5: Belanjawan Sarawak 2019 yang dibentangkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari disifatkan sebagai telah mencatat sejarah baharu.

Menteri Muda Jalan Pesisir, Datuk Julaihi Narawi berkata, Belanjawan Sarawak 2019 merupakan belanjawan yang proaktif dan terbesar dalam sejarah sekali gus mengubati rasa kecewa rakyat Sarawak terhadap Belanjawan Kerajaan Persekutuan 2019 yang dibentangkan baru-baru ini.


Jelas beliau, hasil pendapatan Sarawak akan mencapai angka RM10.513 bilion dengan jumlah perbelanjaan akan mencatat sebanyak RM10.391 bilion, manakala daripada jumlah ini, lebihan (surplus) pula akan mencatat RM122 juta

“Belanjawan Sarawak 2019 ini jelas menggambarkan betapa kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengambil berat dan memberi fokus kepada aspek pembangunan kawasan luar bandar.

“Belanjawan itu juga memahami kehendak seluruh rakyat Sarawak apabila peruntukan sebanyak RM6.049 bilion bersamaan dengan 67 peratus daripada keseluruhan peruntukan dikhususkan untuk pembangunan kawasan luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Sebuyau memberitahu, beliau cukup gembira kerana kerajaan negeri telah memberi penekanan kepada pembangunan rangkaian perhubungan jalan pesisir negeri Sarawak di mana ianya melibatkan peruntukan yang tinggi dalam pembinaan jalan raya dan jambatan.

Katanya, antara jambatan-jambatan tersebut adalah, Jambatan Muara Lassa, Jambatan Rambungan, Jambatan Batang Lupar, dan Jambatan Kuala Kemena.

“Kesemua cadangan jambatan-jambatan berkenaan pada mulanya dibiayai oleh kerajaan persekutuan. Justeru, bajet ini adalah inisiatif kerajaan Sarawak akan membina, melengkap dan menaik taraf jalan pesisir di sepanjang pantai dari Selatan hingga ke Utara Sarawak.

“Selain jambatan-jambatan tersebut, pembinaan semua jambatan di sepanjang jalan pesisir yang telah diluluskan sebelum ini adalah Jambatan Batang Saribas, Jambatan Batang Krian, Jambatan Batang Rejang dan Jambatan Batang Paloh,” ujarnya.

Sementara itu, beliau memberitahu, usaha untuk membina dan menyiapkan jalan pesisir iaitu melibatkan pembinaan jaringan terputus dan pembinaan jambatan-jambatan di laluan jalan pesisir yang ditunggu-tunggu selama ini juga akan memberi impak yang positif, peluang dan ruang kepada rakyat di kawasan pesisir.

Ujarnya, antaranya adalah seperti memudahkan pengerakan rakyat khasnya masyarakat pesisir dan negeri Sarawak keseluruhannya serta memudahkan aktiviti pemasaran produk atau hasil pertanian dan hasilan laut dari kawasan pesisir.

“Selain, itu ia akan memudahkan membawa masuk input keperluan dalam sektor pertanian dan perikanan dengan kos yang lebih murah serta merancakkan pembangunan sosio ekonomi dan membangunkan tanah tanah terbiar di kawasan pesisir.

“Saya juga berterima kasih kepada kerajaan negeri Sarawak kerana belanjawan ini juga mengambil kira peruntukan untuk projek bekalan air bersih dari Kota Samarahan hingga ke Sebuyau.

“Semoga usaha ini dapat menyelesaikan masalah bekalan air bersih di bahagian Samarahan dan Sebuyau,” katanya lagi. — DayakDaily