Belanjawan 2021 inklusif fokus kepada kesejahteraan rakyat – Pemuda GPS

Dato Gerald Rentap Jabu

KUCHING, 7 Nov:  Sayap Pemuda Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyifatkan Belanjawan 2021 adalah inklusif berpaksikan dan memfokus kepada kesejahteraan rakyat meliputi semua bidang termasuk pendidikan, ekonomi dan pembangunan infrastruktur.

Ketua Pemuda GPS, Gerald Rentap Jabu berkata, memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk membantu semua lapisan masyarakat yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

“Belanjawan ini menyentuh keperluan setiap rakyat di negara ini khususnya kepada mereka yang berkerja sebagai petani, penternak dan nelayan dengan sedikit sebanyak pertambahan peruntukan diberikan kepada golongan ini sebagai suntikan untuk memperkasa sektor angromakanan kita,” katanya yang juga ADUN Layar.


Beliau berkata, peruntukan berjumlah RM50.4 bilion dalam bidang pendidikan untuk menaiktaraf sekolah, pemberian komputer riba atau tablet kepada pelajar sesuatu yang amat dihargai rakyat di Sarawak dan ia selari dengan dasar Ekonomi Digital yang diinpirasikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Bagaimanapun, perkara itu pastinya sukar dilaksanakan jika prasarana dan kemudahan telekomunikasi yang lebih cekap tidak disediakan terutamanya di kawasan luar bandar atau pedalaman.

Mengulas mengenai peruntukan pembangunan berjumlah RM4.5 bilion bagi Sarawak, Rentap berkata pengurusan dana terbabit perlu diberikan sepenuhnya kepada kerajaan Sarawak tanpa campur tangan daripada pihak luar.

Ini kerana ujarnya, kerajaan Sarawak lebih mengetahui dan memahami keperluan pembangunan di negeri ini khususnya melibatkan penyediaan kemudahan infrastruktur jalan perhubungan, bekalan utiliti, komunikasi dan prasarana pendidikan.

Pada masa sama kata Rentap, peruntukan berjumlah RM41 juta  kepada Sabah dan Sarawak bagi program Native Custumary Rights (NCR) sedikit sebanyak membantu dalam usaha Sarawak melaksanakan penyukatan dan pewartaan tanah hak adat.

“Terdapat peningkatan permintaan daripada rakyat di Sarawak kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan penyukatan dan pewartaan tanah mereka daripada Seksyen 6 kepada Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak selepas kanun tanah terbabit di pinda baru-baru ini.

“Dengan peruntukan ini ia pastinya akan membantu kita untuk melaksakan usaha terbabit dan ini jelas memperlihatkan kerajaan persekutuan mengiktiraf hak tanah NCR di negeri ini,” katanya. — DayakDaily