Bekalan elektrik 30 premis kedai Miri disyaki tempat perjudian dipotong

-Staff Sesco dilihat sedang melakukan kerja-kerja pemotongan bekalan elektrik ke atas sebuah premis di Miri sambil diperhatikan anggota JSJ Miri.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 11 Sept: Sebanyak 30 premis kedai di sekitar daerah Miri disyaki menjalankan kegiatan judi tanpa lesen dipotong bekalan elektrik semalam (Khamis).

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah, tindakan tersebut dilakukan oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Miri (JSJ) bersama beberapa petugas Sarawak Energy Berhad (Sesco) sekitar jam 10 pagi hingga 12.30 tengah hari.


Usaha tersebut adalah untuk membanteras kegiatan judi online di sekitar Miri, katanya.

Dalam operasi tersebut, pasukan bersama tersebut telah pergi ke beberapa lokasi di sekitar Miri termasuk Batu Niah, antaranya Taman Tunku, Lambir, Tanjong Lobang dan Lutong.

Ops tersebut dilakukan mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 di mana pihak polis boleh membuat permintaan untuk pemotongan bekalan elektrik terhadap premis atas kesalahan menjalankan aktiviti perjudian.-DayakDaily