RM170 juta diperuntuk bagi projek bekalan eletrik luar bandar di Sarawak tahun ini

Tangkap layar Ahmad (kiri) dan (Rubiah) semasa Sidang Mesyuarat Dewan Negara pada 30 Mac 2023. Foto: Siaran langsung Parlimen Malaysia dalam YouTube.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 2 April: Sarawak menerima peruntukan sebanyak RM170.48 juta bagi projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) untuk tahun ini.

Menurut Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang, ia melibatkan pelaksanaan 14 projek dengan kos sebanyak RM3.04 billion.


“Bagi pelaksanaan projek-projek BELB, setelah siap ia akan diserahkan kepada Pihak Berkuasa Elektrik Negeri (PBEN) iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB), Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk tujuan operasi dan penyenggaraan.

“Susulan itu, kerja-kerja membaik pulih infrastruktur-infrastruktur yang telah uzur dan mengalami kerosakan adalah di bawah tanggunjawab PBEN,” katanya Ketika menjawab soalan lisan Senator Dato Ahmad Ibrahim pada Sidang Mesyuarat Dewan Negara pada Khamis lalu (30 Mac).

Manakala bagi program Jalan Luar Bandar (JALB), Rubiah memberitahu peruntukan berjumlah RM169.1 juta telah diluluskan.

Ia bagi melaksanakan 76 projek dengan kos berjumlah RM6.04 billion untuk Wilayah Sarawak di bawah Belanjawan 2023.

Katanya, projek-projek jalan luar bandar yang telah siap dilaksanakan di bawah Kementerian akan diserahkan semula kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak untuk didaftarkan di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

“Manakala bagi Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB), sejumlah RM136.37 juta telah diperuntukkan pada tahun 2023 yang melibatkan pelaksanaan 56 projek BALB di Sarawak.

“Projek-projek BALB yang telah siap akan diserahkan kepada Pihak Berkuasa Air Negeri untuk pengoperasian dan penyelenggaraan,” katanya. – DayakDaily