KUCHING, 4 Ogos: Kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam untuk tempoh tiga bulan lagi mulai 1 Oktober sehingga 31 Disember tahun ini.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, penangguhan ini melibatkan anggaran jumlah bayaran balik sebanyak RM375 juta.
“Ini bermakna jumlah keseluruhan anggaran penangguhan bayaran balik adalah sebanyak RM1.13 bilion.
“Semua peminjam PTPTN akan diberikan pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman secara automatik tanpa perlu membuat sebarang permohonan sebagaimana pelaksanaan penangguhan sebelum ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Namun tambah beliau, sekiranya terdapat peminjam yang ingin meneruskan bayaran balik pinjaman, mereka boleh berbuat demikian melalui saluran bayaran balik secara dalam talian yang telah disediakan.
Menurut Noraini, kerajaan amat prihatin dan peka terhadap kekangan kewangan yang dihadapi oleh sebilangan peminjam PTPTN yang menghadapi kesukaran hidup disebabkan kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan akibat pandemik Covid-19.
Justeru katanya, diharapkan pengumuman ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh peminjam PTPTN.
Untuk maklumat dan pertanyaan lanjut, peminjam boleh menghubungi Careline PTPTN melalui talian di 03 – 2193 3000 yang beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat, jam 9 pagi hingga 5 petang atau melayari portal rasmi www.ptptn.gov.my.-DayakDaily