Baru 2 bulan berjinak-jinak edar dadah, lelaki warga tempatan ditahan dalam serbuan bernilai RM314,400

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas susulan serbuan pada pagi Selasa (19 Okt).

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 20 Okt: Polis pada Selasa menahan seorang lelaki warga tempatan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah di sekitar bandar ini.

Dalam serbuan yang dilakukan sekitar jam 11.20 pagi itu, polis turut merampas dadah jenis methampetamine atau syabu bernilai RM314,400.


Sebuah kereta import jenis Honda berwarna hijau dengan anggaran nilai RM15,000 turut disita.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari dalam satu sidang media hari ini, serbuan yang dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Miri (BSJN) bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Pokis Kontinjen (IPK) Sarawak telah menyerbu sebuah bengkel di Jalan Datuk Muip dan rumah di Kampung Pengkalan Lutong.

Hasil pemeriksaan lanjut di kedua-dua lokasi pokis berjaya menemui 52 paket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki Methamphetanine dengan anggaran berat 8,264.2 gram.

Difahamkan dadah tersebut adalah untuk edaran pasaran tempatan sekitar Miri.

Suspek berusia 29 tahun itu ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 27 Okt untuk membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. — DayakDaily