Bapa, anak ditangkap, disyaki lakukan samun

Tangkap layar dari video CCTV di lokasi kejadian.

KUCHING, 7 Mac: Seorang bapa bersama anak lelakinya ditangkap polis kerana disyaki bersubahat melakukan samun bersenjatakan pedang samurai ke atas sebuah kedai serbaneka di Jalan Sultan Tengah, di sini pada 3 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kedua-dua suspek berusia 37 dan 65 tahun ditangkap di dua lokasi berasingan di Taman Sourabaya Indah dan Bandar Baru Semariang.

Katanya, pihak polis turut berjaya merampas senjata yang digunakan semasa kejadian iaitu sebilah pedang samurai serta beberapa barang lain seperti pakaian dan kenderaan yang digunakan semasa kejadian.

“Kedua-dua suspek ditahan reman dibawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan Prosedur Jenayah selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan disebat.

“Hasil semakan juga mendapati bahawa kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Namun begitu, hasil ujian awal air kencing mendapati suspek (anak) positif dadah jenis amphetamine/methamphetamine,” katanya. — DayakDaily