KUCHING, 15 Okt: Bangunan bekas Sekolah Latihan Pertanian, Long Lama akan dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk mangsa banjir di Telang Usan khususnya Long Lama.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), ia sebagai tambahan kerana PPS sedia ada di Masjid Darulsalam Long Lama dan Dewan SJKC Kee Tee mungkin tidak mencukupi sekiranya berlaku banjir besar.
Pada semalam, Pegawai Daerah Telang Usan Baru Tai bersama beberapa orang pegawai daripada agensi lain seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pertanian, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan UKAS melakukan lawatan ke lokasi.
Lawatan berkenaan adalah bagi memeriksa dan memastikan kerja-kerja bagi membaikpulih bangunan tersebut dapat dipercepatkan.
Pihak kontraktor yang bertanggungjawab telah diarahkan untuk memperbaiki struktur yang reput demi memastikan keselamatan mangsa banjir yang bakal ditempatkan di situ pada masa akan datang.
Pihak JBALB juga telah diminta untuk melakukan pemasangan paip untuk mangsa mendapatkan air bersih. — DayakDaily