Rizzua ungguli 110 meter lari berpagar

Rizzua mengungguli acara akhir 110 meter lari berpagar lelaki dalam Kejohanan Olahraga Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sirkit ketiga di Stadium Unimas hari ini.

KUCHING, 15 Okt: Atlet negara kelahiran Sarawak, Mohd Rizzua Haizad Muhamad menjuarai acara akhir 110 meter lari berpagar lelaki dalam Kejohanan Olahraga Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sirkit ketiga di Stadium Unimas hari ini.

Atlet berusia 25 tahun yang mewakili Universiti Putra Malaysia (UPM) mencatatkan masa 14.1 saat bagi merangkul pingat emas.

Dua lagi atlet dari UPM menguasai acara akhir 110 meter lari berpagar iaitu Benedict Ian Gawok dengan catatan masa 14.5s dan Muhammad Aftar Rosli 15.4s.


Rizzua mengakui, dia terpaksa bekerja keras untuk memberikan yang terbaik untuk kejohanan berprestij ini.

“Saingan adalah sengit daripada atlet lain terutama Benedict (atlet negara) membuatkan saya perlu lebih bekerja keras. Saya bersyukur kerana memenangi kejohanan ini,” katanya.

Untuk rekod Rizzua mewakili negara pada Sukan Sea Malaysia 2017 (meraih tempat keenam) dan Sukan Sea Vietnam 2022 (tempat kelima) bagi acara lari berpagar lelaki.

Seramai 500 atlet dari 16 Institut Pengajian Tinggi menyertai Kejohanan Olahraga Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sirkit ketiga selama dua hari bermula hari ini.

Sementara itu, Mohamad Amirul Arif Mohd Azri dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memenangi pingat emas bagi acara larian 1,500 meter lelaki akhir dengan mencatatkan masa 4 minit 14.27 saat.

Anas Ariffin dari Universiti Putra Malaysia meraih pingat perak dengan catatan masa 4:22.06s dan Alif Zaini dari Politeknik Mukah meraih pingat gangsa 4:25.40s.

Manakala, Puspa Letchumy Jainatheran dari UTM mengungguli pingat emas bagi acara larian 1,500 meter wanita dengan mencatatkan masa 5 minit 10.30 saat.

Seorang lagi, atlet dari UTM Lyydia Chua Jing Wen meraih pingat perak dengan mencatatkan masa 5:37.83s dan Cherynna Corey Chin dari Unimas mencatatkan masa 6:12.63s. — DayakDaily