Bandung dijadikan model bangunkan Kuching sebagai bandar pintar

Dr Abdul Rahman (tengah) menyerahkan cenderamata kepada Drs H Daud Achmad

KUCHING, Sept 21: Kerajaan Sarawak menjadikan kota pintar Bandung untuk membangunkan bandar raya Kuching sebagai bandar pintar pertama di negeri ini.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, yang bertanggungjawab ke atas Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), berkata kejayaan yang telah dilakar Bandung selama empat tahun sebagai ‘smart city’ wajarkan dijadikan model terbaik sebelum ia dipanjangkan ke Sibu, Miri dan bandar-bandar lain di Sarawak.

Jelasnya, ini kerana Bandung, yang berkeluasan 167.67 kilometer persegi dan mempunyai populasi 2.57 juta penduduk, berubah daripada sebuah bandar lama kepada bandar serba moden.


“Bagaimanapun, mereka tetap mengekalkan warisan budaya lokal berlandaskan kepada kreativiti dan inovasi digital,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Gabenor Jawa Barat, Mochamad Ridwan Kamil, di pejabat beliau di Gedong Sate, Bandung, Indonesia semalam.

Delegasi Kerajaan Sarawak disambut oleh Doktorondes Daud Achmad, Wakil Sekretariat Daerah Provinsi Jawa Barat di Pejabat Gabenor Jawa Barat, Kota Bandung.

Delegasi Kerajaan Sarawak itu turut dihadiri Timbalan Setiausaha Negeri, Datu Dr Sabariah Putit dan pegawai-pegawai kerajaan negeri yang akan terlibat dalam pembangunan bandar raya Pintar Kuching.

Dr Abdul Rahman menambah, ia merupakan platform perkongsian ilmu sebagai mempersiapkan Sarawak dan masyarakatnya menuju ke arah kehidupan berlandskapkan kepada persekitaran digital yang berlandaskan kepada kreativiti dan inovasi.

“Banyak perkara yang boleh kita pelajari dan kongsi bersama terutamanya dalam sektor pembangunan bidang ICT yang telah dilaksanakan dengan begitu jaya di kota pintar Bandung dari segi pentadbirannya.

“Dalam kata lain, usaha ini bagi memastikan kita dapat mempercepatkan pelaksanaan digital ekonomi kita,” katanya. — DayakDaily