Bandaraya Kuching hub umrah pada 2020—Abdul Karim

Abdul Karim(tengah) pada sidang media di Kuching hari ini.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 30 Dis: Bandaraya Kuching bakal menjadi hub umrah menjelang April 2020 setelah Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama ATS Global Travel and Chartered Sdn Bhd.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata syarikat tersebut akan mengendalikan penerbangan umrah dari Kuching ke Jeddah dan Kuching ke Madinah.


“Kita cadangkan empat penerbangan seminggu dan berkemungkinan bermula pada bulan April 2020.

“Dengan adanya penerbangan terus dari Kuching ke Jeddah dan Madinah ini, ia akan membuka satu lambaran baru dan merancakkan industri pelancongan di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selesai majlis menandatangani MoU tersebut yang diadakan di sebuah hotel di sini.

Menurut Abdul Karim lagi, penerbangan umrah itu bukan sahaja mengendalikan jemaah dari Sarawak tetapi turut menjadi pusat untuk jemaah dari seluruh Borneo iaitu dari Brunei, Kalimantan dan tempat-tempat lain di Indonesia.

Pada majlis yang sama, STB turut menandatangani MoU bersama Hainan Airlines yang bakal menyaksikan penerbangan terus dari Haikou ke Kuching pada Mac 2020.

Penerbangan terus itu kata Abdul Karim adalah sangat penting kerana China memiliki pasaran yang besar.

“Ini adalah kali pertama Hainan Airlines mengadakan penerbangan terus ke Sarawak.

“Harapan saya pada masa akan datang penerbangan terus ini juga boleh dikembangkan ke Sibu atau Miri,”katanya pada sidang media yang sama.

Tambah Abdul Karim lagi, penerbangan terus ini juga boleh memberi manfaat kepada sektor pertanian di mana ia boleh digunakan untuk mengekspot produk pertanian ke negara China.

Katanya, populasi penduduk China adalah besar dan memerlukan banyak makanan, manakala Sarawak adalah pengeluar makanan dari hasil pertanian.

“Kita telah berjaya mengekspot hasil pertanian ke Singapura dan saya tidak nampak kita tidak boleh melakukan perkara yang sama ke China,’katanya.

Pada majlis tersebut STB diwakili Pengerusinya Datuk Abdul Wahab Aziz, manakala ATS Travel dan Hainan Airlines diwakili Pengarah Eksekutif Mohd Sharom Mabol dan Yang Lei. —DayakDaily.