Bakar motorsikal milik makcik kerana marah permintaan untuk wang ditolak

Suspek ditahan untuk membantu siasatan.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 25 Jan: Berang permintaannya untuk wang ditolak, seorang lelaki berusia 21 tahun tergamak bertindak membakar motorsikal milik makciknya dalam satu kejadian yang berlaku di Kampung Pengkalan, Lutong malam Ahad (24 Januari).

Kejadian dilaporkan telah berlaku sekitar jam 9.57 malam di sebuah rumah di Kampung Pengkalan di sini lantaran ditolak permintaannya.


Suspek telah melarikan diri setelah membakar bahagian depan motorsikal jenis Yamaha Ego 115 tersebut.

Kerugian dianggarkan sebanyak RM2,000.

Ibu suspek segera memaklumkan kejadian tersebut kepada adik perempuannya yang kemudian terus menelefon suaminya.

Susulan kejadian, pengadu berusia 43 tahun yang juga pakcik suspek telah tampil membuat laporan polis setelah dimaklumkan mengenai kejadian dari isterinya.

Suspek berjaya ditahan sekitar jam 9 pagi ini di sebuah premis mencuci pakaian layan diri (dobi) di Lutong oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ).

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari mengesahkan tangkapan.

Suspek kini ditahan di Balai Polis Pusat Miri (CPS) untuk membantua siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Siasatan awal mendapati suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau.

Difahamkan suspek juga dikatakan ada menyimpan dendam terhadap pengadu kerana sering memarahinya. — DayakDaily