Bakar kereta gara-gara tidak dibenarkan guna kenderaan terbabit

Bahan letupan yang ditemui di lokasi kejadian.

Oleh Dean Adam

BAU, Ogos 11: Gara-gara tidak dibenarkan menggunakan sebuah kereta, seorang remaja lelaki bertindak di luar kawalan apabila bertindak membakar kenderaan milik bapanya dalam satu kejadian di Kampung Stenggang di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon berkata, suspek berusia 19 tahun itu masih diburu selepas melarikan diri.


Katanya, berdasarkan laporan diterima pada pukul 2.02 pagi tadi, suspek pada mulanya meminta kunci kereta daripada ahli keluarganya, namun dilarang oleh bapanya.

“Berang selepas tidak dibenarkan menggunakan kereta, suspek kemudian mengeluarkan kata-kata akan bertindak membakar dan mengebom kereta milik ayah mereka.

“Suspek telah keluar dari rumah dan apabila kembali semula ke rumah, dia dilihat membawa botol yang berisi minyak petrol kemudian menyimbah minyak petrol tersebut pada kereta Perodua Viva, pintu pagar dan dinding rumah dan bertindak membakarnya dengan menggunakan pemetik api,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Poge menambah, abang suspek dan adik iparnya kemudian cuba menghalang tindakan suspek, namun mereka berdua turut disimbah dengan minyak petrol.

Katanya, akibat daripada itu, kebakaran pada kereta Viva telah menyambar mereka berdua kerana terlalu hampir.

Kelihatan kereta yang disimbah dengan minyak petrol dan dibakar.

“Kebakaran itu telah menyebabkan abang dia melecur pada seluruh badan hingga bahagian kepalanya, manakala adik iparnya melecur terkena pada bahagian kaki.

“Melihat keadaan itu, ahli keluarga tersebut kemudian menghubungi pihak bomba untuk memadamkan kebakaran.

“Apabila pihak bomba sampai, api kebakaran pada kereta telah dipadamkan oleh penduduk kampung dengan menggunakan air paip,” ujarnya.

Poge menambah, menyedari kehadiran orang kampung yang datang membantu, suspek bertindak melarikan diri dengan membonceng motosikal Honda bernombor pendaftaran QAA 1349.

Katanya, mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Bau untuk menerima rawatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7 Akta Bahan Letupan.

“Polis juga mohon orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek datang ke balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily