Bajet 2019: Ahli Parlimen PKR turut melahirkan rasa terkilan

Willie (tiga dari kanan) melihat proses pendaftaran belia yang sedang mencari pekerjaan di Program Karnival Kerjaya 2018.

KUCHING, 3 Nov: Wakil rakyat dari kerajaan Pakatan Harapan turut melahirkan rasa terkilan dengan peruntukan pembangunan kepada Sarawak dalam Belanjawan 2019 yang dibentangkan di Parlimen semalam.

Antaranya Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin, dari Parti Keadilan Rakyat, yang menyatakan belanjawan terbabit tidak menyentuh mengenai projek pembangunan infstruktur asas seperti bekalan air, elektrik, jalan kampung dan balai raya di luar bandar.

Ini terutamanya projek yang telah dibatalkan atau dibekukan pemberian peruntukan pelaksanaanya oleh kerajaan Pakatan, katanya.

“Saya sedikit kecewa dari segi peruntukan pembangunan (bagi Sarawak) sebab projek (luar bandar) yang belum mencapai 15 peratus pembangunan dan juga projek yang masih belum ditender telah dikaji semula dan ada yang telah dibatalkan, serta ada sedang dalam senarai pembekuan.

“Bagi saya, perkara yang harus kita buat adalah memberi penekanan dan mencari dana untuk memajukan kawasan luar bandar di negeri ini sebab Sarawak sudah lama ketinggalan,” katanya selepas menghadiri Program Karnival Kerjaya 2018 Peringkat Bahagian Kuching @2.0, anjuran Jabatan Tenaga Kerja Sarawak di Siburan, hari ini.

Willie (kiri) melawat golongan belia yang sedang mencari pekerjaan di Program Karnival Kerjaya 2018.

Willie berkata walaupun projek terbabit telah dibatalkan atau dibekukan pemberian peruntukannya, kerajaan Pakatan mesti meletakkan sasaran tempoh waktu bagi melaksanakan projek terbabit.

“Di sini, projek penting kepada rakyat termasuk projek Jalan Padawan di Parlimen Puncak Borneo yang telah dibatalkan, walaupun sudah diluluskan kerajaan pusat sebelum ini.

“Mereka (kerajaan pusat Pakatan) sudah memberitahu saya supaya membuat rayuan, jadi saya sudah meminta pasukan saya untuk menulis surat rayuan rasmi dan meminta kerajaan pusat mengkaji semula projek yang dibatalkan atau dibekukan pemberian peruntukanya di Sarawak,” katanya.

Bagaimanapun, secara keseluruhannya, beliau melihat belanjawan terbabit ada peningkatan peruntukannya kepada Sarawak walaupun jumlahnya tidak sebesar yang diterima Sabah, sambil mengambil kira keadaan negara ini yang sedang mengalami kekangan kewangan yang cukup besar, katanya.

“Jadi hasrat kerajaan untuk menambah sedikit peruntukan kepada Sarawak daripada belanjawan yang kita dapat tahun lepas, saya rasa itu sudah memadai buat permulaan,” Willie berkata, sambil meluahkan rasa keyakinan bahawa kerajaan Pakatan akan memberi Sarawak peruntukan yang lebih pada tahun akan datang.

Beliau juga melahirkan rasa puas hati bahawa Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, serta Kementerian Kerja Raya sudah memberi penekanan untuk melaksanakan projek infrastruktur asas di Sarawak dan Sabah. — DayakDaily