Awas sindiket ugut orang ramai menggunakan nama LHDN

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia logo
Advertisement

KUCHING, 24 Julai: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengesan beberapa sindiket penipuan yang bergerak dengan modus operandi berbeza, mengugut orang ramai dengan menggunakan nama agensi tersebut.

LHDN, menerusi kenyataan media hari ini, berkata diantara yang berjaya dikesan adalah sindiket menggunakan resit rasmi pembayaran cukai pendapatan LHDN yang dipalsukan.

Menurut kenyataan tersebut, modus operandi sindiket penipuan tersebut yang menggunakan aplikasi WhatsApp memaparkan mesej berupa ugutan.

Advertisement

Sindiket mengarahkan orang ramai untuk memindahkan sejumlah wang ke akaun bukan milik LHDN dan akan dikenakan tindakan mahkamah sekiranya tidak mematuhi arahan yang diberikan.

Penipuan lain yang dikesan adalah menggunakan panggilan telefon kepada orang ramai dengan menyamar sebagai pegawai LHDN.

“Penyamar akan memaklumkan mangsa mempunyai kes jenayah seperti dadah atau penggubahan wang haram dan kemudiannya panggilan tersebut akan disambungkan dengan talian palsu pihak berkuasa seperti pihak polis (PDRM) untuk memperdaya mangsa.

“Sebagai makluman, LHDN tidak menggunakan aplikasi whatsapp sebagai medium komunikasi rasmi dengan pembayar cukai dan juga panggilan telefon dengan menggunakan nama agensi awam tertentu selain dari LHDN,” kata kenyataan tersebut.

Sebarang urusan berkaitan pematuhan cukai hanya dilakukan menerusi kaedah panggilan telefon, surat rasmi dan e-mel rasmi daripada Hasil Care Line, Jabatan dan Cawangan LHDN, ia menambah.

Sehubungan itu, LHDN menasihatkan orang ramai terutamanya pembayar cukai agar lebih berwaspada dengan taktik sindiket ini dan segera membuat laporan polis sekiranya telah terpedaya.

Menurut LHDN, orang ramai tidak perlu panik apabila menerima panggilan atau mesej sedemikian, sebaliknya sebarang surat, e-mel, mesej ataupun panggilan telefon yang meragukan berkaitan LHDN hendaklah disahkan terlebih dahulu dengan menghubungi Hasil Care Line di talian 1-800-88-5436 atau Customer Care Officer (CCO) di setiap cawangan LHDN.

Senarai CCO LHDN boleh diakses melalui portal rasmi LHDN di www.hasil.gov.my > Hubungi Kami > Pegawai Perhubungan Awam. — DayakDaily

Advertisement