Awang Tengah: Kerajaan Sarawak bayar pampasan, jangan percaya dakwaan tanah dirampas

Awang Tengah (empat dari kiri) menyampaikan cek bantuan usahawan kepada salah seorang penerima.

KUCHING, 13 Dis: Rakyat diingatkan agar tidak mudah percaya dengan hasutan dari luar yang menuduh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengambil tanah rakyat.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerajaan akan membayar pampasan kepada pemilik tanah sekiranya melaksanakan projek pembangunan di sesebuah kawasan.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar Dan Sumber Asli II menegaskan, pihak luar hanya pandai memutar belit fakta dengan mempengaruhi pemikiran rakyat dengan mendakwa kerajaan negeri merampas tanah milik rakyat.


“Jangan mudah percaya hasutan dari luar yang menuduh kerajaan GPS mengambil tanah milik rakyat.

“Kerajaan akan membayar pampasan sekiranya ingin melakukan projek pembangunan di sesebuah kawasan,” katanya di majlis penyerahan surat hak milik tanah di Dataran Keling, Lubok Antu pada Sabtu (11 Dis).

Tambah Awang Tengah, GPS menumpukan usaha membangunkan Sarawak dan mempertingkatkan projek pembinaan serta naik taraf jalan, jambatan, bekalan air dan elektrik termasuk sistem komunikasi.

Dalam program itu, seramai 632 orang penerima menerima surat hak milik tanah bagi Warta Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18.

Manakala 259 orang lagi menerima Surat Hak Milik Tanah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri dalam kawasan pembangunan SALCRA di situ.

Dalam program sama, beliau turut menyampaikan cek Bantuan Keusahawanan dan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM15,000 kepada Loria Allen Keroh, dan cek Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) berjumlah RM342,700 kepada Ugel Jok dan Joseph Enjak.

Cek Projek Transformasi Luar Bandar Sarawak (TUBS) berjumlah RM199,996.50 juga disampaikan kepada Pengerusi Persatuan Penternak Ikan Batang Ai, Naka Indap.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dan Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh. — DayakDaily