Kampung Awat-Awat, perkampungan nelayan alami banyak perubahan

Kelihatan Awang Tengah semasa berucap di Majlis Penyerahan Enjin Bot Sangkut Program Peningkatan Pendapatan di Tebingan Awat-Awat.

KUCHING, 13 Dis: Kampung Awat-Awat di Lawas kini mengalami perubahan dan memiliki kemudahan yang dapat dinikmati oleh penduduk, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Awang Tengah berkata, dahulunya ia merupakan perkampungan nelayan yang hanya memiliki jalan laut dan sungai serta tiada bekalan air dan elektrik.

“Apa yang ada pada hari ini adalah disebabkan kita bersama kerajaan sejak dahulu lagi. Sedikit demi sedikit berubah dan hari ini sudah ada banyak kemudahan yang kita nikmati.


“Ini tidak datang bergolek, ini adalah berkat usaha kita bersama kerajaan, kita dapat merancang dan melaksanakan sesuatu.

“Oleh itu kita harus bersama kerajaan apatah lagi dalam menghadapi pilihan raya ini supaya kita dapat terus melaksanakan pembangunan dan menjaga kebajikan masyarakat,” katanya pada Majlis Penyerahan Enjin Bot Sangkut Program Peningkatan Pendapatan di Waterfront Awat-Awat semalam.

Awang Tengah yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi DUN Bukit Sari berkata, GPS mempunyai pelbagai lagi perancangan untuk memberikan pembangunan kepada rakyat.

Ujar beliau, kerajaan membina jalan penghubung dan Lebuhraya Pan Borneo yang dibiayai oleh kerajaan.

“Kita akan bina lapangan terbang baharu di Lawas ini. Kita akan membangunkan kawasan kita ini. Itulah matlamat kita iaitu untuk membangun dan kebajikan masyarakat terjaga,”ujar beliau.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid semasa berucap memberitahu, Lawas telah mengalami banyak perbezaan berbanding 10 tahun yang lalu.

“Banyak kawasan sudah dibangunkan di Lawas ini dan kita akan terus membantu kawasan-kawasan luar bandar di Negeri Sarawak ini,” kata beliau.

Pada majlis itu, Mahdzir juga mengumumkan bahawa Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akan dibangunkan di Lawas ini dengan peruntukan RM140 juta.

“Kita mahu beri pendidikan yang terbaik untuk anak-anak di Lawas ini. Ini semua kita lakukan bersama Kemas, Mara, Felcra yang masing-masing mempunyai peranan sendiri dalam memberi yang terbaik kepada masyarakat,” jelasnya.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Pengangkutan Dato Henry Sum Agong dan Ketua Pengarah Mara Datuk Azhar Abdul Man. — DayakDaily