Autonomi PKR Sarawak tidak dihormati: Willie

Willie(duduk enam dari kanan) merakamkan kenangan bersama anggota bomba dan yang lain di Majlis Penyerahan 1000 Alat Pemadam Api di Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, NOVEMBER 23: Naib Pengerusi II Parti Keadilan Rakyat(PKR) Sarawak, Willie Mongin berkata kuasa autonomi yang dimiliki Keadilan Sarawak sudah tidak dihormati.

Katanya, perkara yang berlaku di dalam PKR pada masa sekarang menjurus ke arah perlanggaran perjanjian bersama bahawa Keadilan Sarawak berhak menggunakan otonomi dalam urusan di peringkat negeri.


MP Puncak Borneo itu mengulas berhubung keputusan pimpinan parti di peringkat nasional yang meneruskan Konvensyen PKR di Miri yang berlangsung hari ini.

Majlis Pimpinan Negeri(MPN) PKR Sarawak yang dipengerusikan MP Selangau, Baru Bian pada 18 November lepas telah mengumumkan pembatalan kovensyen tersebut.

“Daripada apa yang berlaku di dalam PKR sekarang, saya rasa ianya menjurus ke arah itu, dan status autonomi Keadilan Sarawak sudah tidak dihormati.

“Kita bukan berniat untuk mengugut atau memberontak, tetapi kita sebagai ahli parti memahami masalah ini dan ingin ia kembali ke pendekatan yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Penyerahan 1000 Alat Pemadam Api di Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya di sini, hari ini.

Pada kenyataan media yang dikeluarkan Baru pada 20 November lepas, MPN Sarawak kecewa setelah pimpinan parti nasional enggan mengiktiraf perjanjian bersama bahawa Keadilan Sarawak berhak menggunakan autonomi dalam urusan di peringkat negeri.

Menurut kenyataan tersebut, Konvensyen Keadilan terletak di bawah bidang kuasa negeri.

Tetapi keputusan yang dibuat oleh Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat untuk meneruskan Konvesyen telah sama sekali mengabaikan kehendak majoriti yang mewakili MPN Sarawak dan sekaligus melanggar perjanjian bersama tersebut.

Dalam pada itu, Konvensyen PKR di Miri pagi tadi telah dirasmikan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Setiauaha Agung PKR Saifuddin Nasution.— DayakDaily