Auditor akaun lesap RM4,950 akibat terpedaya sindiket ‘Macau scam’

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

MIRI, Dis 14: Seorang auditor akaun sebuah syarikat terpaksa berputih mata selepas kerugian wang RM4,950 akibat terpedaya dengan sindiket ‘Macau scam’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah, berkata kejadian menimpa wanita berusia 28 tahun itu dilaporkan berlaku pada 10 Dis lalu.


Bagaimanapun katanya, laporan polis berhubung kes berkenaan hanya diterima semalam.

“Berdasarkan maklumat diterima, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki kononnya pegawai Mahkamah Seksyen Shah Alam yang dikenali sebagai Mazlan Rahman.

“Suspek kemudian memberitahu kenderaan milik mangsa yang disewa telah terlibat dengan kes langgar lari dan menyebabkan kematian,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa menambah, seterusnya mangsa dihubungi pula oleh seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Lau Kin Ming.

Jelasnya, suspek kemudian memberitahu mangsa ada memiliki 23 akaun bank atas namanya yang terlibat dengan kegiatan haram.

“Selepas itu mangsa seterusnya dihubungi oleh seorang lelaki yang memperkenalkan diri kononnya sebagai Inspektor Khoo.

“Lelaki tersebut kemudian meminta mangsa untuk memasukkan wang sebanyak RM4,950 bagi tujuan semakan akaun banknya di Bank Negara Malaysia,” katanya.

Pada hari yang sama kata Mustafa, mangsa telah memindahkan wang berjumlah RM4,950 melalui ke dalam satu akaun bank yang telah diberikan suspek.

Ujarnya, selepas transaksi pemindahan wang dilakukan, mangsa telah gagal menghubungi suspek.

“Mangsa yang berasa ditipu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily