Anugerah PGBK satu penghargaan kepada golongan wanita – Rosey

Rosey menerima anugerah Pingat Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK) yang membawa gelaran “Datuk”.

Oleh Cornelius Kadir Edison

KUCHING, 9 Okt : Menteri Muda Wanita, Keluarga dan pembangunan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus menyifatkan penganugerahan Pingat Panglima Bintang Kenyalang (PGBK) yang dikurniakan oleh Yang di Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud kepadanya sebagai satu penghargaan kerajaan Sarawak kepada peranan wanita dalam memperkasakan negeri itu.

Beliau berkata sumbangan dan peranan wanita amat relevan kerana mereka merupakan antara tulang belakang dalam membantu memperkasa pelbagai agenda termasuk membangun dan memajukan sesebuah negeri atau negara.


“ Jika diamati, wanita kini mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan golongan lelaki dan ini kita tidak dapat nafikan apabila banyak golongan wanita yang berjaya dalam bidang yang mereka minati atau ceburi tidak kira politik, ekonomi, perudangan dan sebagainya.”

“Justeru, anugerah ini merupakan satu penghargaan bukan sahaja kepada saya tetapi untuk semua wanita di luar sana,” katanya.

Menurut Rosey, anugerah tersebut juga merupakan symbol penghormatan kerajaan negeri terhadap peranan yang di mainkan oleh penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Berkenu dalam bersama-sama mebangunkan Sarawak.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Sarawak kerana penganugerahan ini adalah satu penghormatan juga kawasan kita di N71 Bekenu yang majoritinya terdiri daripada masyarakat Kedayan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penganugerah Pingat dan Darjah Kebesaran Semperna Sambutan Ulang Tahun Kelahiran ke-84 Yang Di Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud di sini.

Seramai 1,194 penerima menerima anugerah pingat dan darjah kebesaran negeri yang didahului oleh Menteri pendidikan, Sains, dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Amar Micheal Manyin Jawong.-DayakDaily