KUCHING, 20 Jun: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membantu melaksanakan program vaksinasi di kawasan yang jauh di pendalaman Sarawak.
Menurut Menteri Kanan Keselamatan Dato Sri Ismail Sabri Yaakob, beberapa kawasan telah di kenal pasti dan dipersetujui oleh kerajaan negeri untuk pemberian suntikan vaksin.
“Kita sudah berbincang dan bersetuju dengan kerajaan negeri, bahawa ATM telah mengenal pasti beberapa lokasi untuk kita bawa vaksin dan buat suntikan.
“Untuk kawasan yang tidak dapat dilalui, kita mungkin akan menggunakan helikopter. Kita juga mungkin akan menggunakan sungai.
“Bagi yang ada jalan balak, kita akan menggunakan trak ATM dan membawa pegawai perubatan, paramedik dan pegawai dari kementerian kesihatan,” katanya.
Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kem Muara Tuang, Samarahan semalam.
Tambah Ismail Sabri, pasukan ATM akan berada di Ba’Kelalan mulai 21 Jun hingga 27 Julai dengan jumlah yang bakal menerima vaksin melebihi 700 orang.
Katanya, ATM juga akan berada di Long Busang, Sang Anau dan Long Bunau mulai 18 hingga 24 Jun di mana empat pasukan akan bergerak secara serentak.
“Pada perjumpaan dengan ketua menteri hari ini (semalam), kita memberi ruang kepada kerajaan negeri menamakan kawasan lain.
“Kita telah masukkan Nanga Ngungun dalam senarai dan tadi ditambahkan lagi kawasan di Kapit dan di Bario.
“Kita bantu dari segi logistik, paramedik dan doktor tetapi vaksin dari kerajaan Sarawak,” ujar Ismail.
Berhubung PPV Kem Muara Tuang, beliau berkata ia menyediakan perkhidmatan pemberian vaksin secara pandu lalu untuk anggota tentera, ahli keluarga dan staf awam.
Katanya, program bermula pada 19 hingga 23 Jun dan melibatkan emapt saluran kenderaan dengan enam stesen suntikan.
“Setakat ini 58.5 peratus anggota tentera di Sarawak sudah menerima vaksin dan dijangka selesai pada pertengahan Julai ini.
“Untuk keseluruhan iaitu melibatkan anggota, ahli keluarga dan staf awam, pemberian vaksin dijangka selesai pada bulan Ogos,” katanya sambil berkata PPV secara pandu lalu juga dibuka di Kem Oya di Sibu.
Turut hadir pada lawatan tersebut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dato Sri Dr Sim Kui Hian. — DayakDaily