Armando Dian Among dan Chris Deng Vinsien bakal sambung pelajaran di luar negara

Armando Dian Among (kiri) dan Chris Deng Vinsien.

KUCHING, 31 Ogos: Dua anak bumiputera Sarawak, Armando Dian Among dan Chris Deng Vinsien, yang cemerlang dalam pelajaran bakal melanjutkan pengajian ke institusi terkemuka di luar negara.

Armando, pelajar etnik Kajang Sekapan, menjadi kebanggaan masyarakat dari Belaga apabila lulus cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Dengan pencapaian cemerlang tersebut, Armando telah ditawarkan biasiswa tajaan Petronas untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Bio-Chemistry di Taylor University Lakeside Campus di Amerika Syarikat.


Manakala, Chris, pelajar etnik Kenyah kelahiran Baram, Sarawak telah mendapat tawaran menyambung pengajian dalam bidang Undang-Undang di Magdalen College, Universiti Oxford di Britian.

Presiden Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) Elias Lipi Mat dan timbalan presiden Edward Awan dalam satu kenyataan bersama hari ini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kedua-dua anak Sarawak itu serta keluarga mereka.

“Kita amat bangga dengan kejayaan Armando dan Chris. Melanjutkan pengajian di luar negara dalam jurusan yang diminati pastinya impian semua pelajar.

“Apatah lagi pembiayaannya dalam bentuk biasiswa dibiayai sepenuhnya syarikat besar seperti Petronas yang turut menyediakan jaminan pekerjaan selepas tamat pengajian. Ia nyata peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan begitu saja.

“Kita berharap, dengan kecemerlangan Armando dan Chris pada hari ini akan menjadi pembakar semangat dan menyuntik keyakinan kepada setiap pelajar untuk mencapai keputusan lebih cemerlang dalam usaha menabur bakti kepada negara kita,” katanya.

Tambahnya lagi, kerjasama ibu bapa menitikberatkan pendidikan dan mengutamakan pembelajaran anak-anak turut menjadi resipi kejayaan anak-anak mereka.

Menurut kenyataan yang sama, Armando dibesarkan di Kuching dan menuntut di sekolah SMK ST Thomas Kuching dari Tingkatan 1 sehingga Tingkatan 5.

Armando mempunyai tiga adik beradik yang lain yang mana dua daripadanya sudah menamatkan pengajian Universiti manakala seorang lagi masih menuntut di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Bapa beliau, Among Matu, adalah anak kepada mendiang Temenggong Matu Puso yang merupakan Ketua Masyarakat etnik Kajang Sekapan di Kapit. Beliau bekerja sebagai kontraktor dan mengusahakan ladang persendirian. Among Matu juga aktif dalam pertubuhan sosial dan merupakan pengerusi Persatuan Etnik Kajang Sekapan Sarawak (PKEKS).

Ibu beliau, Juliana Kechendai, berasal dari Bebangai Betong, seorang guru dan berkhidmat di SMK Batu Lintang.

Manakala, Chris dibesarkan di Bintulu dan memasuki sekolah berasrama penuh sebelum menyambung pelajarannya di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Mukah dan meneruskan pengajian A-Level di Kolej Yayasan UEM di Lembah Beringin, Selangor.

Chris menjadi kebanggaan masyarakat di kampungnya bahawa tiada yang mustahil untuk etnik Kenyah berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti berprestij di luar negara. — DayakDaily