BINTULU, 11 Dis: Dua bot tunda dan dua tongkang bersama muatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu selepas disyaki melakukan aktiviti pemindahan barang bercukai tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa di perairan Bintulu.
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Bintulu Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil berkata, kedua bot tunda serta tongkang terbabit di kesan dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan lebih kurang 2.1 batu nautika dari Muara Sungai Kemena, Bintulu sekitar jam 10.28 pagi semalam.
Katanya, pemeriksaan yang dilakukan mendapati 11 kru yang terlibat mengendalikan dua buah bot tunda serta dua tongkang tersebut mendapati mereka sedang melakukan aktiviti memindahkan barang bercukai disyaki ‘Quarry Dust’.
“Kesemua kru bot-bot terbabit iaitu lima daripadanya merupakan warga tempatan dan enam warga Indonesia berusia dalam lingkungan 27 hingga 56 tahun, bot tunda, tongkang beserta muatan yang berjumlah lebih kurang 4500 metrik tan ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952/60, Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu 1983 dan Kanun Tanah Sarawak 1958 kerana disyaki telah melakukan aktiviti memindahkan barang dan bersauh tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Dalam pada itu Effendy berkata, APMM sentiasa mengingatkan agar semua komuniti maritim terutamanya di Bintulu agar sentiasa mengutamakan keselamatan di laut termasuk pemakaian jaket keselamatan.
Pada masa kini, pihaknya juga tidak menggalakkan sebarang aktiviti riadah air atau berdekatan kawasan pantai memandangkan keadaan cuaca serta laut yang bergelora pada ketika musim landas ini. — DayakDaily