APMM tahan bot nelayan tempatan langgar zon operasi

Bot nelayan tempatan Kelas C yang ditahan APPM selepas didapati menangkap ikan di zon yang tidak dibenarkan.

MIRI, 29 Okt: Sebuah bot nelayan Tempatan Kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Miri selepas didapati melakukan aktiviti penangkapan ikan di zon yang tidak dibenarkan.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Md Fauzi Othman berkata, bot nelayan terbabit ditahan sekitar jam 10.50 pagi semalam kira-kira 6 batu nautika dari Kuala Niah, Miri oleh aset Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Operasi Khas Kuda Laut.

“Bot Kelas C ini telah melakukan kesalahan kerana didapati menjalankan aktiviti penangkapan ikan di Zon B iaitu pada jarak antara lima batu nautika hingga 15 batu nautika daripada kawasan daratan terdekat.


“Ini adalah satu kesalahan bagi bot Kelas C kerana menangkap ikan kurang dari 12 batu nautika yang mana telah menyalahi syarat yang tertera di dalam lesen yang dimiliki,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fauzi berkata, pemeriksaan ke atas bot yang dikendalikan oleh lima lelaki tempatan termasuk seorang tekong, berumur antara 28 hingga 68 tahun, mendapati mereka tidak mempunyai sebarang permit dari pengarah perikanan untuk menjalankan aktiviti tersebut.

Katanya, kesemua awak-awak, bot, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan sekitar 200 kilogram yang ditahan, diiringi masuk ke Jeti Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Miri untuk siasatan lanjut.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen,” tambahnya lagi.

Tegas Fauzi, pihak Maritim Malaysia memandang serius kesalahan yang melibatkan pelanggaran kawasan aktiviti, khususnya di Zon A dan B.

Ini kerana tindakan tersebut berpotensi menjejaskan pendapatan golongan nelayan tradisional di kawasan pesisir pantai dan pembiakan hasil laut. –DayakDaily