APMM Daerah Kuching lakukan khidmat khas ambil mayat pemilik bot

Anggota APMM melakukan khidmat khas mengambil mayat pemilik bot nelayan.

KUCHING, Mac 2: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Kuching melakukan khidmat khas mengambil mayat seorang pemilik bot nelayan yang dilaporkan mati mengejut ketika sedang belayar di perairan Muara Tebas dekat sini malam tadi.

Pengarah Maritim Daerah Kuching, Kepten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 9.15 malam.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima, seorang lelaki yang dikenali sebagai Chin Ted Liung, 66, dilaporkan meninggal dunia selepas dikatakan secara tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

“Panik melihat keadaan itu, kru bot nelayan tempatan terbabit kemudian bertindak menghubungi APMM untuk bantuan mengambil mayat mangsa.

“Bot nelayan itu dilaporkan pada kedudukan kira-kira 21 batu nautika timur laut dari Muara Tebas dekat sini semasa kejadian,” katanya di sini hari ini.

Shahref menambah, sepasukan anggota APMM bersama sebuah Kapal Maritim KM SIAGUT kemudian dikerahkan ke lokasi untuk mengambil mayat mangsa.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, anggota APMM kemudian bertindak mengangkat mayat mangsa sebelum menuju ke jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS),Muara Tebas di sini.

“Kapal APMM turut menunda bot nelayan itu dan tiba di KOMTAS pada pukul 12.30 tengah malam.

“Bantuan khidmat khas itu tamat sepenuhnya selepas ahli keluarga menuntut mayat mangsa,” ujarnya lagi. — DayakDaily