Kebakaran: 15 penghuni tinggal sehelai sepinggang

Keadaan kebakaran melibatkan tiga pintu di Rumah Panjang Puso Kerangan Mong.
Advertisement

SRI AMAN, Mac 2: Seramai 15 penghuni daripada tiga buah keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di Rumah Panjang Puso Kerangan Mong musnah terbakar dekat sini malam tadi.

Kebakaran kira-kira pukul 8.20 malam itu melibatkan tiga buah pintu di rumah panjang berkenaan.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Sri Aman, Nik Muhammad Afiq Nik Roslan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 8.24 malam.

Advertisement

Jelasnya, seramai 19 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dan BBP Betong telah diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar rumah panjang berkenaan.

“Api cepat merebak kerana struktur ruang panjang berkenaan diperbuat daripada bahan mudah terbakar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nik Muhammad menambah, penduduk kampung serta pasukan bomba sukarela Lubok Antu turut berada di lokasi untuk membantu operasi memadam kebakaran.

Katanya, tiada laporan kecederaan dilaporkan berlaku dalam kebakaran itu.

“Operasi tamat sepenuhnya selepas pasukan bomba memastikan keadaan adalah terkawal sepenuhnya,” katanya lagi. — DayakDaily

Advertisement