Api rumah berjaya dipadam jiran sebelum sempat merebak di Taman Siang Siang Lorong Acorus 2

Anggota Bomba tiba di lokasi kejadian.

MIRI, 25 Jan: Beberapa jiran di Taman Siang Siang 2 Lorong Acorus 2 Taman Delight pada tengahari tadi bertindak memadamkan api dari sebuah rumah sebelum ia sempat merebak.

Tindakan pantas mereka itu bukan sahaja berjaya menghalang api tersebut daripada merebak ke kediaman berdekatan, malah menyelamatkan tiga penghuninya.

Menurut Pemangku Bomba dan Penyelamat Miri Ahmad Nizam Sapaiee, semasa kejadian, hanya seorang lelaki warga emas berusia 78 tahun dan dua cucunya masing-masing berusia 18 dan 22 tahun berada di dalam kediaman tersebut.


Nizam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 1.22 petang tadi.

“Sejurus dimaklumkan mengenai kejadian, sepasukan anggota dari Balai Bomba Miri Central telah digerakkan ke lokasi,” jelasnya.

Kebakaran telah berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh penghuni rumah tersebut dengan bantuan jiram tertangga menggunakan air pili yang berada didepan rumah tersebut.

Kebakaran melibatkan peralatan elektrik, penghawa dingin dan peralatan elektrik lain yang berada diruang tamu rumah tersebut.

Anggaran peratusan kebakaran 15 peratus. — DayakDaily