Tujuh kes kemalangan maut bagi tempoh 7 hari Ops Selamat Tahun Baru Cina

Mohd Azman Ahmad Sapri

KUCHING, 25 Jan: Hari ke tujuh pelaksanaan Op Selamat 19 sempena Tahun Baru Cina 2023 menyaksikan tujuh kes kemalangan maut direkodkan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, ia menunjukkan peningkatan sebanyak lima kes dibandingkan tahun 2022.

“Ini bersamaan peningkatan dengan 250 peratus, iaitu dari 2 kematian pada Op Selamat 17/2022 kepada 7 kematian pada Op Selamat 19/2023,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Tambah Mohd Azman, sepanjang 7 hari Sarawak telah merekodkan sebanyak 355 kes kemalangan Jalanraya.

Katanya, jumlah ini telah menunjukkan peningkatan 67 kes, iaitu dari 288 pada 2022 kepada 355 kes.

” Sepanjang tempoh tujuh hari Op Selamat 19/2023 dijalankan, kejadian kemalangan yang berlaku di Jalan Bandaran menunjukkan peningkatan yang ketara dengan merekodkan sejumlah 155 kes.

” Manakala Jalan Negeri sebanyak 95 kes, Jalan Persekutan 72 kes atau dan lain-lain jalan sebanyak 33 kes,” kata Mohd Azman.

Ops Selamat ke-19 sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2023 bermula pada 18 Januari 2023, iaitu selama 10 hari dan akan berakhir pada 27 Januari 2023. — DayakDaily