Anugerah EKSA Mampu: Zon Maritim Tanjung Manis pahat sejarah

Anugerah EKSA Cemerlang yang disampaikan oleh Banges (kiri) kepada Mohd Ariz di Pejabat Mampu.

KUCHING, 23 Okt: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) zon Tanjung Manis memahat sejarah sebagai zon Maritim ulung dalam agensi ini yang menerima anugerah EKSA Cemerlang semalam.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) Sarawak Banges Munga kepada Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis Komander Maritim Mohd Ariz Md Kassim di Pejabat Mampu.

Ini merupakan pengiktirafan yang julung kalinya diterima APMM dan telah meletakan zon Maritim Tanjung Manis sebagai pejabat Maritim Malaysia pertama di Malaysia memperoleh pensijilan EKSA daripada Mampu.

EKSA atau Ekosistem Kondusif Sektor Awam merupakan salah satu dasar perkhidmatan awam yang diterajui oleh Mampu dalam menerap dan meningkatkan budaya kecemerlangan organisasi berimejkan korporat serta melahirkan idea kreatif serta inovasi.

“Pasukan audit pensijilan EKSA Mampu Sarawak telah membuat pengauditan di bangunan pejabat tiga tingkat zon Maritim Tanjung Manis yang berkeluasan lebih kurang 1,095 meter persegi yang menempatkan 44 orang pegawai dan anggota telah berlangsung pada 23 hingga 25 Sep.

“Penerapan EKSA zon Maritim Tanjung Manis bermula seawal April 2019 dengan galakan cawangan Inovasi dan Kualiti, Bahagian Khidmat Pengurusan Ibu Pejabat Maritim Malaysia serta dorongan pegawai peringkat atasan Maritim negeri Sarawak.

“Ini bagi penerapan objektif utama cawangan ini kepada peningkatan imej pejabat Maritim Malaysia dalam memupuk semangat kerja berpasukan dan pembangunan inovasi, idea serta kreativiti bagi mengiktiraf usaha setiap individu atau kumpulan secara berterusan,” kata Mohd Ariz dalam satu kenyataan media.

Menurut beliiau, penerapan sepenuhnya penglibatan amalan EKSA oleh setiap warga pejabat ini amat menggalakkan selaras dengan panduan oleh pihak Mampu.

“Syukur dan tahniah kepada setiap warga zon Maritim Tanjung Manis serta penghargaan juga kepada pihak pengurusan yang telah memberikan sokongan berterusan serta pihak-pihak yang terlibat sehingga berjaya memperoleh pensijilan EKSA, walaupun dalam situasi penularan wabak Covid-19  telah membataskan persediaan rapi dalam masa yang singkat,” tambahnya. —DayakDaily